‘Ya, Muhyiddin Akan Kemuka Surat Letak Jawatan Esok’ – Kita Sudah Usaha Yang Terbaik Untuk Rakyat


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.

Beliau mengesahkan perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Parlimen Bersatu dengan Perdana Menteri di Pejabat Perikatan Nasional di Publika, hari ini.

“Ya, benar peletakan jawatan…esok” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Muhyiddin akan menawarkan peletakan jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.

Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, peletakan jawatan itu adalah jalan terakhir yang di ambil berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita bertanggungjawab dengan keadaan yang berlaku hari ini, kita sudah usaha yang terbaik untuk memastikan pengurusan Covid-19 berjalan dengan baik dalam pergolakan politik yang melanda.

“Kita sudah sampai ke tahap tidak boleh buat apa-apa pun… yang terakhir adalah strategi bipartisan, tetapi tidak disambut, jadi kita kena letak jawatan… kita sudah usaha terbaik untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu, katanya mesyuarat di Publika pagi hari ini adalah antara Muhyiddin dengan ahli Parlimen Bersatu dan mereka yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin dijangka menghadap Agong Isnin ini

Malaysiakini

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, pada Isnin ini ketika kedudukannya sebagai perdana menteri terus menjadi perhatian ramai.

Sumber yang dekat dengan perkembangan itu memberikan bayangan kepada Malaysiakini, pertemuan berkenaan akan berlangsung menjelang tengah hari.

Ketika ini ada khabar angin yang bertiup kencang mendakwa Muhyiddin kini di ambang penghujung perkhidmatannya sebagai perdana menteri dan bakal melepaskan jawatan tidak lama lagi.

Bagaimanapun beberapa menteri yang dihubungi Malaysiakini serta media lain menafikan hal tersebut.

“Tidak (Muhyiddin tidak meletak jawatan),” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin kepada Malaysiakini.

Hal yang sama dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Md Yusof kepada Sinar Harian: “Perdana Menteri tidak meletak jawatan hari ini.”

Muhyiddin kini berdepan dengan tekanan dari pelbagai pihak selepas didakwa kekurangan 11 ahli parlimen yan menyokongnya untuk membolehkan dia mendapat dukungan majoriti di parlimen.

Muhyiddin bertegas enggan meletak jawatan atas alasan ketika ini tiada mana-mana ahli parlimen mendapat sokongan majoriti di parlimen untuk dilantik sebagai pengganti.

Bagaimanapun ahli parlimen Pagoh itu dikecam kerana didakwa tidak berhak membuat pertimbangan berkenaan. Tugas menentukan sokongan tersebut, kata pengkritik adalah kuasa Agong sebagai ketua negara.

Mohon Agong kekal PM, kerajaan PN hingga PRU15

Yang di-Pertuan Agong dimohon membuat pertimbangan mengekalkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, ini bagi memastikan kestabilan politik tidak tergugat dan usaha memerangi pandemik Covid-19 dapat diteruskan.

“Sekiranya Perdana Menteri dan kerajaan ditukar ketika ini, banyak masalah yang akan timbul termasuk merencatkan usaha memerangi Covid-19 yang mencecah lebih 20,000 kes ketika ini.

“Pada masa sama tidak ada calon Perdana Menteri yang layak ketika ini dan sekiranya Perdana Menteri serta kerajaan ditukar, belum tentu dapat menyelesaikan masalah Covid-19 di negara ini.

“Perdana Menteri atau kerajaan baharu nanti bukan ada magis apabila dilantik masalah Covid-19 akan selesai sekelip mata. Ini mustahil dan kerajaan PN sudah melakukan yang terbaik dalam memerangi pandemik ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan peribadi untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Air Tawar 5 di Pejabat Kejora, Bandar Penawar di sini pada Ahad.

Ketika ini timbul desas-desus Muhyiddin akan meletakkan jawatan dan mengumumkan perkara tersebut selepas bertemu Agong pada Isnin.

Pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Sumber Hmetro/Utusan/Sinar